The Red Giants

EN
MY
SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan ACL Two Group G MD3 | Persib 2-0 Selangor FC

Oct 24, 2025 - FAS

Selangor FC terpaksa pulang tanpa sebarang mata tambahan dari Stadium Gelora Bandung Lautan Api selepas tewas 0-2 kepada Persib dalam aksi Kumpulan G AFC Champions League Two (ACLTWO) semalam.

Keseluruhan perlawanan menyaksikan skuad Merah Kuning berjaya menguasai 53% penguasaan bola dengan 480 hantaran dan memperoleh lebih banyak sepakan sudut namun tidak berjaya memanfaatkan peluang yang ada. Tempo perlawanan dikawal dengan baik tetapi gol separuh masa pertama oleh Adam Alis pada minit ke-29 dan penalti babak kedua oleh Andrew Jung pada minit ke-66 menjadi penentu kemenangan Persib.

Menurut Christophe Gamel, ketua jurulatih Selangor FC, akur dengan kekalahan perlawanan semalam namun mahu terus berikan persembahan terbaik hingga tamat saingan ACLTWO Kumpulan G.

“Secara jujurnya, kita berada dalam situasi ini kerana tidak cukup peka. Banyak peluang berjaya dicipta sepanjang perlawanan, tetapi tidak dinafikan jaringan penalti mereka menyukarkan lagi keadaan. Selain itu, dengan kehilangan Noor Al-Rawabdeh faktor kecederaan selepas persiapan terakhir pasukan, sedikit sebanyak mengubah strategi dan keseimbangan dalam pasukan. Namun itu bukanlah alasan, sebaliknya kita perlu tetap bertahan dengan lebih baik dan bekerja lebih keras untuk dapatkan kemenangan,” tegas beliau.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para penyokong yang sentiasa memberi sokongan dan salurkan semangat mereka kepada pasukan. Selepas perlawanan semalam, peluang untuk mara mungkin semakin tipis, tetapi kita akan terus berjuang hingga tamat perlawanan Kumpulan G saingan ACLTWO, tidak kira apa yang terjadi,” semangat Gamel.

Seterusnya, Selangor FC akan berdepan Kuala Lumpur City FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 26 Oktober ini jam 8:15 malam. Dapatkan tiket anda di: #SFCKLC

Terima kasih pihak pengurusan Selangor FC mengucapkan kepada para penyokong yang sudi terbang ke Indonesia untuk menyokong pasukan. Kita bangkit semula, Gergasi Merah!

Demi Kebanggaan!